Disunting dan dipetik dari buku Para Sahabat yang Akrab dalam Kehidupan Rasul’, Pengarang: Khalid Muhammad Khalid

Suhaib ibnu Sinan ar-Rumi dilahirkan di dalam serba kemewahan. Bapanya adalah seorang gabenor di Al-Uballah, di bawah kerajaan Parsi dan adalah salah seorang bangsa Arab yang berpindah ke Iraq jauh sebelum datangnya sinar Islam. Istananya terletak di tepi sungai Efrat, berdekatan Mosul, dan mereka hidup dalam keadaan aman dan bahagia. Namun, keadaan itu tidak kekal lama, Parsi telah diserang oleh pasukan Rom ( Byzantium ) dan tentera Rom telah menahan sejumlah penduduk termasuk Suhaib serta menjadikannya hamba.

Beliau dijual oleh para pedagang hamba, sampai akhirnya dibeli oleh Abdullah ibn Jud’an. Oleh yang demikian, beliau menghabiskan masa kanak-kanak dan sebahagian besar masa remajanya di wilayah Rom, dimana beliau mengadaptasi dan menguasai bahasa serta budaya mereka.Disebabkan oleh kecerdasan, kekuatan dan kejujurannya, tuannya telah memerdekakan beliau serta diberi kesempatan berdagang dengannya.

Pada suatu hari… marilah kita semak apa yang diceritakan sahabatnya Ammar bin Yassir tentang kejadian hari itu: Saya bertemu Suhaib ibn Sinan di depan pintu Dar al-Arqam ketika RasululLah berada di sana. Saya bertanya “Apa yang anda inginkan?” Suhaib menjawab, “Dan apa yang kamu inginkan?” Saya berkata. “Saya ingin bertemu RasululLah dan mendengar apa yang disampaikannya.” Suhaib menjawab, “Saya menginginkan hal yang sama.” Kami berdua lalu masuk dan bertemu RasululLah. Baginda mengajak kami memeluk Islam dan akhirnya kami beralih ke agama Islam. Kami berada di sana hingga petang dan keluar secara sembunyi-sembunyi.

Setalah kejadian di atas, Suhaib akhirnya mengetahui jalan ke Dar al-Arqam. Ia telah mengetahui jalan menuju cahaya dan petunjuk, namun memerlukan pengorbanan yang sulit dan besar. Memasuki pintu kayu tersebut, yang memisahkan Dar al-Arqam dan segala isinya dari dunia luar, tidak hanya bererti melewati ambang pintu, tetapi melewati keseluruhan batas-batas dunia. Sebuah dunia lama dengan seluruh karakteristiknya-agama,tingkah laku, kebiasaan dan kehidupan-menuju kepada sebuah dunia baru dengan segala karakteristiknya – agama,sikap, tradisi dan kehidupan.

Suhaib adalah salah seorang perantau. Ammar bin Yassir adalah seorang hamba yang miskin. Mengapa mereka dengan sukarela pergi menempuh mehnah dan ancaman dan dalam masa yang sama melakukan yang terbaik dalam peperangan? Hal tersebut kerana panggilan iman yang tidak dapat ditolak. Itulah pengaruh keperibadian Muhammad yang telah menghiasi hati para mengikutnya dengan cinta dan hidayah. Cahaya yang mengagumkan, yang muak dengan penyelewengan dan kesesatan akal fikiran. Di atas semua itu, inilah rahmat Allah SWT yang dilimpahkan kepada siapa pun yang dikehendakinya serta petunjuk yang diberikan kepada orang yang berpaling kepadaNya.

Setelah Suhaib mengabungkan diri dengan orang-orang yang telah beriman, beliau berada di tempat yang mulia di antara orang yang dermawan dan orang yang mengorbankan dirinya.

Beliau pernah melukiskan kesetiaanya yang tinggi terhadap tanggungjawab sebagai seorang Muslim yang telah berbai’at kepada RasululLah dan bernaung di bawah panji Islam…..Saya hadir di setiap peristiwa yang diikuti RasululLah. Saya ada disetiap bai’at yang dilakukan oleh baginda. Saya hadir disetiap pasukan bersenjata yang dibentuk oleh baginda. Baginda tidak pernah melakukan sebuah penyerangan, baik di awal mahupun di akhir masanya, tanpa kehadiranku di sebelah kanan dan kirinya. Walau bahaya menghadang kaum Muslimin, maka sayalah yang paling depan menghadapinya dan walau bahaya datang dari belakang, maka saya akan berada paling belakang menghadapinya. Saya tidak pernah membiarkan RasululLah berada di posisi antara saya dan musuh hingga beliau wafat.

Inilah suatu gambaran keimanan dan kesetiaan yang mempersona. Sejak hari pertama menerima cahaya ilahi dan meletakkan tangan kanannya di tangan kanan RasululLah, Beliau layak dikurniai keimanan yang mulia dan terkemuka.

Sejak hari itu, hubungannya dengan sesama manusia dan dunia bahkan dengan dirinya sendiri memperolehi dimensi baru. Sejak hari itu, keperibadiannya berubah menjadi teguh, rendah diri dan menghambakan kepada Yang Esa serta berani terhadap segala mara bahaya.

Beliau menghadapi dengan berani segala tanggungjawab yang berada di atas bahunya. Tidak pernah ketinggalan sedikitpun bila mana ada bahaya yang menghadang. Ghairah dan cintanya tidak dicurahkan untuk mendapatkan keuntungan dan harta rampasan, tetapi merupakan pengorbanan diri, bukan ketamakan kehidupan tetapi mengharungi bahaya dengan pengorbanan diri.

Beliau mulai hari-hari pengorbanan dan kesetiaannya pada saat hijrah. Pada hari tersebut ia meninggalkan semua harta yang telah ia perolehi melalui perdagangan sejak ia tinggal di Mekah. Ia meninggalkan semua kekayaan yang dimiliki tanpa ragu dan berfikir panjang.

Ketika RasululLah bermaksud hendak berhijrah, Suhaib mengetahuinya dan beliau seolah-olah mahu menjadi orang ketiga dalam hijrah tersebut selain RasululLah dan Abu Bakar.

Tetapi kaum Quraisy tetap berusaha mencegah hijrahnya RasululLah. Suhaib terjebak di dalam salah satu perangkap mereka hingga tidak mampu berhijrah untuk sementara waktu, sedangkan RasululLah dan para sahabat berhasil meloloskan diri atas kehendak Allah SWT.

Suhaib berusaha memberikan alasan untuk meloloskan diri daripada kaum Quraisy. Ketika mereka leka, beliau tangkas naik ke punggung untanya lalu memacu dengan kencang menuju ke padang pasir yang luas. Tetapi kaum Quraisy tidak berputus asa serta mengirim para pemburu untuk mengejarnya. Suhaib yang telah melihat mereka lalu berteriak, “Wahai orang-orang Quraisy, kalian mengetahui saya adalah seorang pemanah ulung. Demi Allah kalian tidak akan dapat mendekatiku sebelum aku melepaskan tiap panah dari busur ini, kemudian aku akan menebas kalian dengan senjataku sehingga senjataku habis. Majulah kalian sekiranya ingin mencubanya. Atau sekiranya kalian setuju aku akan beritahu tempat penimpanan hartaku asal kalian membiarkanku pergi.”

“Mereka bersetuju untuk menerima hartanya dengan berkata, “Engkau datang kepada kami dalam keadaan miskin. Hartamu menjadi melimpah ruah di tanah kami dan mempunyai kedudukan yang tinggi di antara kami, dan sekarang kamu ingin melarikan diri bersama hartamu?”

Suhaib menunjukkan tempat penyimpanan hartanya, kemudian mereka meninggalkan Suhaib seorang diri dan kembali ke Mekah. Cukup aneh, mereka mempercayai ucapan Suhaib tanpa keraguan. Mereka tidak meminta agar beliau membuktikan ucapannya, juga tidak memintanya mengucapkan sumpah. Kenyataan ini menunjukkan tingginya kedudukan Suhaib di mata mereka sebagai orang yang jujur dan dapat dipercaya.

Suhaib lalu melanjutkan perjalannya seorang diri sampai berhasil menyusul RasululLah di Quba’. Ketika ia datang, RasululLah sedang duduk dikelilingi para sahabat. Setelah beliau melihatnya, lalu berseru dengan gembira. “Wahai abu Yahya! Beruntunglah perdaganganmu! Beruntung perdaganganmu!”

Dan seketika itu juga turunlah ayat., “Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah, dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hambaNya” (Al-Baqarah:207).

Memang, Suhaib telah menebus kekayaan yang telah dikumpulnya dengan keimanan jiwa. Ia tidak pernah merasa hal tersebut sebagai pertukaran yang tidak adil. Harta, emas dan seluruh dunia ini tidak ada ertinya selama ia tetap teguh beriman, hati nuraninya berkuasa dan menentukan takdirnya.

Keutamaanya yang lain ialah ketika ia ditunjuk oleh Umar ibnu Khattab untuk memimpin salat. Ketika Amirul Mukminin diserang sewaktu memimpin solat Subuh dna merasa bahawa ajalnya akan tiba, maka beliau sampaikan pesan kepada para sahabatnya,”Hendaklah Suhaib menjadi imam kaum Muslimin dalam solat.”

Ketika itu Umar memilih enam orang sahabat yang diberi tugas memilih khalifah baru dan khalifah kaum musliminlah yang biasanya menjadi imam dalam solat. Maka siapakah yang akan memimpin solat dalam masa ketiadaan antara kematian khalifah sampai terpilihnya khalifah baru?

Umar tentunya akan berfikir seribu kali sebelum memilih seorang yang pantas di saat seperti itu, di saat jiwanya yang suci akan menghadapt Allah SWT. Jika beliau telah menentukan pilihan, maka tidak ada lagi yang dapat memenuhi syarat dari orang yang telah dipilih tersebut. Dan beliau memilih Suhaib.

Beliau memilihnya untuk memimpin solat kaum muslimin hingga khalifah berikut terpilih dan menjalankan tugasnya. Beliau memilihnya meskipun dialek dan aksen Rom masih terasa jelas dalam ucapannya. Pilihan ini merupakan berkah Ilahi terhadap hambaNya yang saleh; Suhaib ibnu Sinan.

Prepared by: Abu Ammar