empty-hand.jpg

Petikan Drama Melayu…

Seorang penagih dadah disahkan menghidapi penyakit HIV. Tertunduk, kelu. Menyesal? Seolah sudah tiada harapan buat dirinya di dunia sementara.

Sang doktor terdiam dan akhirnya mengeluarkan kata-kata,

“Itulah kamu. Berapa banyak pesanan tentang bahaya dadah telah dibuat…”

Sang pesakit, mula bingit telinga mendengarnya,

“Doktor ingat saya nak ke jadi begini. Doktor cakap boleh lah…”, balas si pesakit kepada doktor dengan marahnya. Sudahlah ditimpa sakit, ada pula manusia yang tidak tahu memahami seperti sang doktor ni.

Umi yang memahami

“Umi, maafkan saya umi. Cap dapat CP je dalam peperiksaan yang lepas…”

Belum sempat menghabiskan kata, umi menjawab,

“Umi faham. Umi tahu Cap telah buat yang terbaik. Umi sentiasa doakan agar Cap terus kuat dan bersabar. Jangan rasa rendah diri, anak Umi semuanya hebat-hebat belaka.”

Aku terharu…di saat ini, itulah kata yang amat aku perlukan daripada seorang insan yang sentiasa bertakhta di hatiku.

ist1_3268301_arab_woman_with_veil.jpg

Ketika mana En. Sponsor mula mempersoalkan prestasiku, rakan-rakan seperjuangan lain gembira dengan kecermelangan, aku berasa terasing di bumi sendiri. Aku pernah berada di tempat yang tinggi, pernah mendapat anugrah itu dan ini. Seolah perkataan GAGAL tidak pernah tertulis dalam sejarah hidupku. Kini, aku benar-benar rasa di bawah. Umi, benarlah kaulah manifestasi rahmat Ilahi, kerana atas rahmatNya, kau mengasihiku tanpa sayarat…

Refleksi Diri…

Sang pesakit HIV berasa marah kerana sang doktor langsung tidak cuba memahaminya. (Maaf, saya pun tidak tahu wujudkah doktor seperti ini dunia ini. Tapi inilah yang digambarkan dalam sebuah drama Melayu). Si anak berasa terharu, gembira, menghargai dan apa-apa lagi perkataan yang boleh disimpulkan dengan SAYANG kepada umi, kerana Umi memahaminya dan sentiasa ingin memahaminya.

Mengimbas kembali kehidupan ini, kita pernah mengalami kekurangan wang (baca: miskin), pernah merasa diri ini dizalimi oleh rakan dan lawan.

Al-Quran dibelek dan dihayati. Nama dan sifat Allah kian jelas buat hati dan minda. DIA maha mengetahui keadaanku. Ketika aku miskin, DIA-lah Maha Kaya (Ghani). (Ruj: Baqarah 2:263) Ketika aku dizalimi, DIA-lah yang Maha Adil.

Ya Allah, KAU memang sentiasa memahami dan mengetahui isi hatiku. Andai aku menyayangi umi kerana umi understanding, kenapa tidak terdetik cinta yang sama kepada-MU? Malah andai umi understanding, KAU lebih-lebih lagi.

Ya Allah, titipkan rasa cinta ini kepada-MU.

Rujukan:

Pahrol Md Juoi, Tentang Cinta, Telaga Biru.

Sheikh Abdur Rahman Nasir As-Sa’di, An Explanation to the Beautiful and Perfect Names of Allah, Daar us-Sunnah Publications, 2001.