Pembukaan Makkah Al-Mukarramah (21 Ramadan Tahun 8 Hijrah Bersamaan 629 Masihi)
Setelah agama Allah mula tersebar luas di kalangan ramai kabilah Arab, dan setelah tentera Muhammad s.a.w menghadapi tentera Rom dalam peperangan Mu’tah, maka adalah penting bagi Nabi s.a.w mengambil sebarang peluang yang dapat untuk membebaskan Makkah al-Mukarramah dan membersihkan Baitullah al-Haram. Peluang yang ditunggu itu tiba apabila Bani Bakar yang merupakan sekutu Quraisy menceroboh Bani Khuza’ah yang merupakan sekutu Nabi Muhammad s.a.w.
Nabi s.a.w mendapati orang Quraisy telah melanggar perjanjian Hudaibiyyah yang memutuskan tidak boleh berlaku pencerobohan terhadap sesiapa yang bersetuju masuk dalam perjanjian (sekutu) bersama Nabi s.a.w. Lantaran itu Nabi s.a.w menyuruh para sahabat dan kabilah-kabilah lain supaya membuat persiapan untuk keluar tanpa menetapkan mana haluan mereka. Setelah persiapan lengkap telah dibuat, Baginda s.a.w pun mengisytiharkan kepada mereka bahawa baginda akan menuju ke Mekah. Baginda berdoa supaya Allah menutupkan pandangan dan berita tersebut daripada sampai ke pengetahuan Quraisy, agar mereka tidak mengetahui pergerakan baginda menuju ke tempat mereka. Tujuan baginda ialah untuk membuat kejutan tanpa pertumpahan darah.
Bergeraklah Nabi s.a.w menuju ke Mekah. Kabilah-kabilah yang menganut Islam terus-menerus datang menyertai angkatan baginda sehingga bilangan mereka mencecah 10,000 orang Muhajirin dan Ansar. Angkatan tentera baginda akhirnya sampai ke sebuah tempat bernama Mamar al-Zahran yang jauhnya empat farsakh dari Mekah. Namun orang Quraisy masih belum menyedari kehadiran baginda. Pada masa itu, mereka masih lagi berbalah sesama mereka tentang apakah yang patut mereka lakukan untuk mengelakkan kemarahan Muhammad dan orang yang bersamanya setelah mereka melanggar perjanjian dan menceroboh sekutu-sekutu Nabi Muhammad s.a.w.
Abu Sufiyan dan al-Harith bin Abdul Mutalib bapa saudara Nabi s.a.w dan Abdullah bin Umayyah anak saudara baginda serta beberapa orang yang lain keluar untuk berjumpa Nabi Muhammad s.a.w dan angkatan tenteranya. Sebelum itu bapa saudara Nabi s.a.w telah mendahului mereka mengisytiharkan keislamannya. Maka begitulah juga yang dilakukan oleh mereka termasuk Abu Sufiyan, terutamanya apabila dia melihat bilangan tentera Muslimin yang begitu ramai berserta kelengkapan mereka. Beliau sedar bahawa orang Quraisy tidak akan mampu menentang tentera yang ramai itu. Setelah masuk Islam, dia pun pulang kepada kaumnya dengan kebenaran Nabi s.a.w lalu menyampaikan ucapan kepada mereka: “Wahai sekalian orang Quraisy, inilah Muhammad telah datang kepada kamu dengan kekuatan yang tak mampu kamu tandingi. Barangsiapa yang masuk ke rumah Abu Sufiyan maka dia selamat, barangsiapa yang menutup pintu rumahnya maka dia selamat, dan barangsiapa yang masuk ke dalam masjid maka dia selamat.”
Walaupun strategi untuk melakukan kejutan telah berjaya, namun Nabi s.a.w tetap mengambil langkah berjaga-jaga. Lantaran itu baginda membahagikan tenteranya kepada empat pasukan dan menyuruh mereka semuanya supaya jangan berperang dan menumpahkan darah kecuali jika dipaksa berbuat demikian.
Rasulullah s.a.w masuk ke kota Mekah sambil menundukkan kepalanya sebagai mensyukuri nikmat Allah. Baginda berhenti di sebuah tempat paling tinggi. Di situ mereka mendirikan khemah untuk baginda berhampiran dengan kubur bapa saudaranya Abu Talib dan isterinya Khadijah. Kemudian datanglah pasukan tentera dari kalangan sahabat baginda dari empat arah dan berkumpul di Bukit Hind yang meninggi di atas Kaabah. Rasulullah s.a.w memberhentikan kenderaannya dan berjalan bersama semua orang masuk ke Baitul Haram. Kemudian baginda tawaf mengelilingi Kaabah tujuh pusingan. Setelah itu baginda menyampaikan ucapannya kepada manusia sambil membacakan firman Allah taala bermasud:
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-ht ulia kamu di sisi Allah ialah orangyang lebih tagwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu). “
(Surah al-Hujurat: 13)
Kemudian baginda berpaling kepada orang Quraisy seraya berkata: “Wahai sekalian orang Quraisy, apa yang kamu fikir aku akan lakukan kepada kamu?” Mereka menjawab: “Kebaikan, saudara yang mulia dan anak kepada saudara yang mulia.” Nabi s.a.w menjawab: “Pergilah, sesungguhnya kamu adalah orang yang bebas.”
Kata-kata baginda itu merupakan satu pengisytiharan tentang pengampunan besar yang diberikan oleh seorang nabi yang mulia yang pernah disakiti dengan sangat hebat oleh kaumnya. Namun apabila baginda telah berjaya menguasai mereka, baginda memaafkan mereka. Lantaran itu mereka pun masuk ke dalam agama Allah berduyun-duyun.
Nabi s.a.w membersihkan Kaabah daripada berhala-berhala yang ada di situ. Berkumandanglah suara bilal melaungkan azan buat pertama kali dari atas Kaabah. Beliaulah orang yang diseksa semasa berada di Mekah pada zaman awal Islam, dan dahulunya dia adalah seorang hamba abdi. Tatkala diseksa dia hanya menyebutkan perkataan Ahad, Ahad (Allah Yang Esa), lantas Abu Bakar r.a. membelinya lalu memerdekakannya demi kerana Allah. Rasulullah s.a.w menetap di Mekah kira-kira 15 hari sehingga dipastikan Mekah bersih daripada berhala-berhala. Setelah itu baginda berangkat pulang ke Madinah al-Munawwarah.
Pembukaan kota Mekah berlaku pada 21 Ramadan yang penuh berkat tahun 8 Hijrah.
*Petikan dpd Madrasah Ramadan: Penerokaan & Hukum-Hakam oleh Dr. Muhammad Ali Dannawi terjemahan Ustaz Muhd Ramzi Omar. Terbitan YADIM, 2006
