Peperangan Al-Buwaib Di Iraq Dan Parsi (Ramadan Tahun 13 Hijrah /634 Masihi)
Setelah Khalid bin al-Walid beredar meninggalkan Iraq menuju ke Syam dengan perintah Khalifah Abu Bakar untuk membantu pasukan tentera Muslimin menentang Rom, al-Muthanna bin al-Harithah mengambil alih tempatnya dalam usaha membuka Iraq dengan perintah khalifah juga.
Al-Harithah berjaya mengasak tentera Parsi secara beransur-ansur sampai ke medan perang yang sengit di sebuah tempat yang bernama al-Buwaib. Di situlah panglima tentera Parsi yang bernama Mahran dibunuh. Tentera Islam mencapai kemenangan hebat. Seterusnya mereka berjaya membuka seluruh negara Iraq dan Parsi.
Peperangan al-Buwaib berlaku pada bulan Ramadan tahun 13 Hijrah bersamaan November tahun 634 Masihi.
Peperangan Penentu Untuk Membuka Negara Andalus (Sepanyol) (Ramadan, 92 Hijrah /711Masihi)
Pembukaan negara Andalus dianggap sebagai perkembangan penting dalam pergerakan tentera Islam menuju ke arah barat. Dari sudut ketenteraan, ia dianggap sebagai pembukaan yang berjaya. Dari sudut ketamadunan, ia berjaya memasukkan negara Sepanyol dan Portugal di bawah pemerintahan Islam. Maka Andalus merupakan titik tolak gemilangnya tamadun Islam di bumi Eropah dalam tempoh yang agak lama.
Dengan kejayaan membuka Andalus, maka umat Islam berjaya masuk ke kawasan lebih jauh iaitu Ghalah (Perancis) sehingga sampai ke Marsile dan sebahagian negara Itali.
Pembukaan Semenanjung Iberia iaitu Sepanyol dan Portugal ditunjangi oleh tiga panglima perang Islam iaitu Tariq bin Ziyad, Musa bin Nusair dan Abdul Aziz bin Musa.
Akan tetapi, peperangan terbesar yang menjadi penentu ialah pada bulan Ramadan tahun 92 Hijrah bersamaan bulan Jun 711 Masihi di Lembah Lakkah iaitu kawasan dataran yang luas. Di situlah berlaku beberapa siri peperangan antara tentera Tariq yang dilengkapi 10,000 tentera dengan tentera Rodrego Raja Qut yang memiliki puluhan ribu tentera. Peperangan berterusan selama dua minggu sehingga akhirnya tentera Qut berjaya ditewaskan dan melarikan diri ke arah utara.
Ia merupakan kemenangan besar yang membuka laluan kepada Tariq untuk mara ke Talitilah, sementara Musa bin Nusair menjejalu tentera Tariq dan mereka bergabung di Balatah. Kemudian mereka terus mara untuk meneruskan pembukaan. Begitulah yang berlaku di mana tarikh 28 Ramadan 92 Hijrah merupakan satu kelahiran baru dalam sejarah kehidupan di Andalus dan tamadun umat Islam di sana.
Pembukaan diteruskan di bahagian utara. Tentera Islam Arab itu berjaya merentasi gunung-gunung Barnet sehingga sampai ke negara Ghalah (Perancis), dan berjaya menguasai bahagian selatannya iaitu kawasan yang luas berhampiran Laut Mediterranean sampai ke Sungai Ron. Kawasan itu termasuklah kawasan yang pada hari ini dikenali dengan nama Riperia di bawah jajahan Perancis dan sebahagian kawasan Iberia di bawah jajahan Itali. Tentera Arab seterusnya di bawah pimpinan al-Hurr bin Abdul Rahman al-Thaqafi berjaya menguasai ibu negeri Sebteman iaitu bandar Norbonne. Orang Islam menamakannya dengan nama Arnubah dan menjadikannya pangkalan untuk membuka negara Ghalah (Perancis). Selepas al-Hurr datang pula al-Sumh bin Malik mengetuai operasi pembukaan. Beliau mengepung bandar Toloz. Kemudian berlakulah pembukaan yang berturut-turut sehingga akhirnya mereka sampai ke bandar Bordo. Di bawah pimpinan Anbasah bin Suhaim pula tentera Arab berjaya sampai ke Bandar Leon pada tahun 105 Hijrah dan menguasainya. Mereka juga berjaya mara ke bandar Sens iaitu sebuah bandar yang terletak di atas sungai Sine 70 kilometer dari Paris.
Peperangan Membebaskan Sur Dari Cengkaman Tentera Salib (22 Ramadan 583 Hijrah Hingga 23 Syawal Bersamaan 1187 Masihi)
Pada 15 Ramadan 83 Hijrah Sultan Salahuddin mengisytiharkan keazamannya untuk membebaskan kota Sur daripada tentera Salib Eropah. Beliau pun mula mengepung kota itu pada 22 Ramadan. Kemudian beliau mengarahkan armadanya dari Mesir supaya datang menyertainya untuk mengepung dari arah laut. Sementara beliau memerangi mereka di darat sehingga akhirnya kota itu menyerah kalah pada 23 Syawal.
*Petikan dpd Madrasah Ramadan: Penerokaan & Hukum-Hakam oleh Dr. Muhammad Ali Dannawi terjemahan Ustaz Muhd Ramzi Omar. Terbitan YADIM, 2006.
