Peperangan ‘Ain Jalut Menentang Mongol (25 Ramadan 659 Hijrah /1261 Masihi)
Setelah Holako berjaya menguasai sebahagian besar negara Syam dan Iraq, tidak termasuk kerajaan-kerajaan tentera Salib yang berserakan di sebahagian pesisiran Syam hingga ke Uka di Palestin, dia melantik panglima tenteranya Katabgha sebagai orang yang bertanggungjawab memerintah Syam dan Palestin. Holako pula pulang dengan segera ke Parsi supaya dia dapat berada hampir pusat pemerintahan selepas kemangkatan Khan Mongol pada tahun 1259.
Pada bulan Januari 1260, Holako menghantar duta-dutanya kepada sultan kerajaan Mamalik di Mesir iaitu Qataz. Mereka membawa suratnya meminta supaya Sultan Qataz menyerah diri. Surat itu menyebutkan: “Sesiapa yang mahu berperang dengan kami maka dia akan menyesal, dan barangsiapa yang mahukan keamanan dari kami maka dia selamat. Oleh itu jangan kamu binasakan diri kamu dengan tangan kamu sendiri. Peringatan telah diberikan. Bilangan kamu yang ramai itu bagi kami sedikit sahaja, orang-orang terhormat kamu adalah hina di sisi kami.”
Setelah membaca surat itu, Sultan Qataz mengumpulkan para pembesar dan ulama yang antara mereka ialah seorang alim dan mujahid yang bernama al-Izz Abdul Salam. Setelah melihat sebahagian mereka teragak-agak membuat keputusan, maka sultan pun mengobarkan semangat para pembesar dan ulama untuk berperang menentang Mongol. Kemudian sultan menyampaikan ucapannya kepada mereka:
“Wahai pembesar-pembesar umat Islam, anda masih lagi benci kepada peperangan, aku sendiri akan turun kemedan jihad. Barangsiapayang memilih untuk berjihad maka silalah mendampingiku, dan barangsiapa yang tidak memilihnya silalah pulang ke rumahnya, kerana Allah memerhatikan nya. Kesalahan dosa umat Islam terpikul atas batang leher mereka yang di barisan belakang. Aku akan bertemu sendiri dengan tentera Tartar dan aku akan memerangi mereka walaupun bersendirian. ”
Begitulah bagaimana akhirnya sultan membuat keputusan yang tegas untuk menghadapi tentera Mongol, Holako dan Katabgha. Kemudian dititahnya supaya para utusan Tartar itu dibunuh. Seterusnya baginda membuat persiapan untuk berperang dan mengobarkan semangat orang ramai supaya membuat persiapan.
Pemimpin para ‘ulama, Al-’Izz Abdul Salam mengobarkan semangat orang ramai supaya berperang dan bersabar menanggung segala kesusahan. Dia membacakan surah al-Anfaal di hadapan perhimpunan umat Islam dan mentafsirkannya kepada mereka. Dia menghantarkan utusan-utusan ke segenap pelosok negeri dan kampung menyeru supaya mereka berjihad.
Akhirnya, keluarlah Sultan Qataz dengan pasukan tentera yang besar setelah amir Bebras yang kembali dari Syam bergabung dengannya. Sultan bermarkas berhampiran Uka dan membuat persepakatan dengan pembesar-pembesar Uka dari kalangan tentera Salib supaya tidak melancarkan permusuhan dan menghulurkan bantuan kepada tenteranya.
Sultan menyedari bahawa tentera Katabgha yang bergerak dari Ba’labak telah menyeberangi Sungai Jordan dan singgah di timur Galela. Sultan Qataz dengan angkatan tenteranya meneruskan perjalanan hingga sampai ke Ain Jalut pada 2 September 1262 iaitu pada bulan Ramadan 658 Hijrah.
Kemudian baginda menyembunyikan sebahagian besar anggota tenteranya di buht-bukit yang berhampiran. Yang tinggal bersamanya hanyalah pasukan barisan hadapan. Begitulah bagaimana Katabgha akan terjebak dalam perangkap Sultan Qataz. Kemudian Sultan Qataz berucap kepada panglima-panglima perang, pembesar-pembesar dan anggota-anggota tenteranya. Baginda memperingatkan mereka tentang kisah yang menimpa saudara mara mereka di Syam. Dirangsangnya mereka supaya menyelamatkan negara, agama Islam dan umatnya daripada ancaman Mongol. Diperingatkannya kepada mereka tentang balasan seksa dari Allah. Lalu mereka pun menangis dan bersumpah untuk berjuang bersungguh-sungguh memerangi Tartar.
Tatkala Katabgha melihat barisan hadapan tentera Mamluk yang dipimpin oleh Bebras, dia menganggap bahawa itulah bilangan sebenar pasukan tersebut. Lantas dia mara ke arah mereka untuk menyerang. Sementara Bebras pula berundur ke belakang sehingga akhirnya tentera Katabgha terkepung oleh sayap-sayap tentera Islam yang berada di atas bukit-bukit sekitarnya. Lalu berlakulah pertarungan dua tentera tersebut. Sambil mencampakkan topi besinya Sultan Qataz menyeru; hidup Islam, hidup Islam. Peperangan bertambah sengit dan akhirnya tentera Tartar menerima kekalahan dan melarikan diri. Katabgha pula berjaya dibunuh.
Lantaran itu terbukalah laluan kepada tentera Islam untuk membebaskan seluruh negara Syam yang sebelum itu telah dikuasai oleh Mongol iaitu Damsyik, Hims dan Halab.
Peperangan Ain Jalut berakhir dengan kemenangan yang nyata pada 25 Ramadan 658 Hijrah bersamaan September 1260 Masihi.
*Petikan dpd Madrasah Ramadan: Penerokaan & Hukum-Hakam oleh Dr. Muhammad Ali Dannawi terjemahan Ustaz Muhd Ramzi Omar. Terbitan YADIM, 2006.
