November lalu rantau Asia-Pasifik menyaksikan satu lagi perubahan kepimpinan. Rakyat Australia selama 13 tahun berada di bawah kepimpinan John Howard terpaksa menidakkan beliau untuk menjawat jawatan tersebut. Namun kata-kata John Howard sebaik selepas mengumumkan kekalahan beliau dan juga partinya harus dihormati.
“Saya mengambil tanggungjawab penuh terhadap kempen ini dan saya menerima dengan penuh tanggungjawab di atas kekalahan dalam pilihan raya ini; bagaimanapun saya berbangga kerana meninggalkan Australia yang lebih gemilang, lebih kuat serta lebih makmur.”
Kata-kata tersebut sekaligus menutup suasana kekalahan dan wajah muram Parti Liberal. Rakyat Australia tidak dapat menafikan akan kebenaran ucapan tersebut, namun demi masa depan negara mereka memilih untuk melihat kepimpinan yang lebih segar dan berwawasan jelas.
Perdana Menteri terpilih, Kevin Rudd yang baru menduduki kerusi sebagai ketua pembangkang tidak lebih dari 10 bulan, susulan dari itu telah menyambut kata-kata John Howard:
“John Howard telah melaksanakan tugas yang terbaik untuk rakyat Australia, bagaimanapun kita akan melaksanakan tugas yang lebih baik untuk Australia.â€
Melihat sendiri suasana kempen dan pilihan raya di bumi Australia ini merupakan pengalaman yang cukup manis. Saya hanya mengikuti perkembangan semasa pilihan raya melalui kaca tv, tidak melalui surat khabar, radio, internet atau media lain.
Bagaimanapun, saya terpaksa akur yang perbincangan dan perbahasan di tv sahaja telah melengkapi setiap mesej yang ingin disampaikan oleh kedua-dua belah pihak. Keberkesanan dan kejayaan Parti Buruh perlu dilihat pada dua langkah yang saling berkaitan; pertama adalah stuktur demokrasi itu sendiri yang menjadi tunjang kepada pilihan raya yang adil lagi bersih, dan yang kedua adalah keberkesanan kempen dalam memahami kehendak rakyat.
Memberi hak yang sama kepada sesiapa yang bertanding untuk berkempen melalui prasarana yang sedia ada telah memberi peluang kepada semua pihak atau parti mempopularkan mesej yang ingin diketengahkan. Kebebasan media untuk mengulas dan melapor, menyumbang kepada kempen pilihan raya yang sihat di kalangan parti.
Paling menarik perhatian saya adalah debat terbuka atau apa yang digelar ‘Great Debate’ antara dua calon utama kedua-dua parti (bakal PM), yang menjadi medan untuk menjaja visi dan kredibiliti individu dan parti. Disinilah tempat untuk masing-masing meyakinkan rakyat bahawa mereka adalah calon terbaik yang harus menjawat jawatan utama negara.
Telahan mudahnya, inilah wajah mereka yang jelas ingin menerajui kepimpinan negara dan berani untuk merealisasikan peranan kebebasan bersuara. Berada di hadapan rakyat diatas pentas bersama pencabar untuk menjawab soalan-soalan kritikal, sekaligus menjadi kayu ukur yang terbaik buat pengundi.
Rasionalnya, rakyat berhak mendapat maklumat secara langsung daripada calon, dan melalui program sebegini, matlamat itu dapat tercapai.
Spekulasi dan khabar angin merupakan sesuatu yang ganjil dalam suasana pilihan raya Australia. Kedua-dua parti yang mendapat liputan hampir saksama dalam media. Setiap persoalan dan spekulasi cepat mendapat perhatian calon dan jawapan mereka akan mendapat tempat utama dalam media, menjadikan ruang spekulasi dan khabar angin semakin sempit. Suasana sihat ini secara tidak langsung mengurangkan wajah buruk pilihan raya yang kita sering hadapi kerana penuh dengan khabar angin, fitnah serta caci maki.
Sebahagian kecil faktor yang disebut diatas sebenarnya menjadi tangga yang mengizinkan Parti Buruh menjalankan kempen berkesan mereka yang sekaligus membawa mereka pada kejayaan. Keberkesanan kempen Parti Buruh adalah penyumbang utama pada keputusan pilihan raya ini, ditambah dengan kegagalan Parti Liberal menunaikan janji-janji pilihan raya lalu.
Struktur demokrasi yang bersih dan membenarkan kebebasan media adalah ramuan utama pilihan raya Australia. Keberkesanan kempen, memahami kehendak rakyat dan memperjuangkannya adalah pelengkap kepada hasrat parti yang ingin menang. Ini dilihat jelas pada pilihan raya Australia 2007.
Namun faktor utama yang lebih dominan adalah kehendak rakyat untuk melihat perjalanan pilihan raya yang bersih dan adil. Rakyat Malaysia sudah lama bersedia, dan saya yakin Malaysia dapat menjadi contoh kepada sebuah negara demokrasi yang baik jika tuntutan tersebut terlaksana. Adakah kita mampu merubahnya? Segalanya bergantung pada KITA.
Abu Fateh