Aku mengayuh laju basikal Morrison yang kubeli dengan harga 35 dolar ketika garage sale tahun lalu. Perjalanku kali ini menyusuri Riccarton Road, menuju ke suatu destinasi yang tidak asing lagi. Tetapi hari ini tidak seperti hari-hari sebelumnya. “Hari ini ada promosi istimewa di Pak n Save. Twisted Tuesday. Beli dengan harga satu barang, boleh dapat 10! Promosi macam ni bukan selalu, setahun sekali je.. “, terang Mat kepadaku dengan bersungguh-sungguh sebentar tadi. “Betul ke ni Mat?” bingkasku seolah-olah tidak percaya. “Kalau kau tak mahu pergi, bermakna kau memang benar-benar tak mahu ambil manfaat dari promosi tu.” Jawapan Mat itu membuatkan aku teruja, memandangkan stok makananku selama seminggu telah pun habis. “Ini peluang terbaik untuk berjimat, sambil mendapat ‘pembelian’ terbaik“, bisik hatiku, riang.

Cerah mentari diiringi tiupan angin berpuput lembut, seolah-olah memahami kegembiraan hatiku untuk bertandang ke pasaraya yang penuh dengan pelbagai barangan keperluan pada harga yang terendah di seluruh Christchurch ini. Di sepanjang Riccarton Road, aku melepasi Apollo Motel, sambil pandanganku melirik pada papan iklannya yang sering kali tertera perkataan ‘No Vacancy’. Sudah kumaklum, bahawa di sepanjang jalan ini, memang terdapat banyak rumah penginapan yang sering menjadi tumpuan persinggahan para pengunjung yang bertandang ke Garden City ini.

(more…)