Selamat menyambut bulan Ramadan untuk kesekian kalinya. Pertama sekali marilah kita panjatkan kesyukuran kehadrat Allah SWT kerana sering kita leka dari memuji Allah kerana telah mengizinkan kita untuk sekali lagi merasai nikmat Ramdhan yang cukup berharga ini. Bagi mereka yang menanti kehadiran Ramadan, sudah pasti kegembiraan menyelubungi diri yang begitu gembira menyambut kehadiran kekasih yang telah lama dinanti, insyaAllah mudah mudahan Ramadan kali ini lebih baik dari yang sebelumnya.
Sabda Nabi SAW: Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadan dengan iman dan mengharapkan redha Allah, akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu (HR Bukhari)
Ramai dikalangan kita yang begitu ghairah merebut-rebut peluang beribadah pada bulan yang mulia ini. Ia merupakan satu usaha yang cukup murni. Tetapi malang sekali, selalunya kesungguhan tersebut samala seperti pepatah melayu ‘sekali air bah, sekali pantai berubah’. Ibadah dilaksanakan dalam konteks bermusim tanpa kefahaman yang mendalam terhadap hakikat Ramadan itu sendiri. Lihat sahaja pada hadis diatas yang menyebut bahawa dosa-dosa yang lalu iaitu dosa-dosa sebelum dari Ramadan, akan mendapat pengampunan Allah. Allah memberi isyarat yang cukup besar bahawa kelebihan Ramadan perlu dilihat dari konteks yang lebih luas, merangkumi bulan-bulan yang lain. Dalam erti kata lain, Ramadan seharusnya memberi impak juga kepada diri kita pada 11 bulan berikutnya.
Ramadan ini sebenarnya adalah jambatan yang menyambungkan kita dengan bulan-bulan yang lain, bagi mereka yang sedar akan hakikat tersebut. Isu pokoknya ialah, ibadah dibulan Ramadan yang kita lakukan sepatutnya tidak mati bila tibanya Syawal, tetapi harus juga subur menjejaki bulan-bulan yang lain. Inilah kelemahan kita yang kadangkala kita alpa. Ramadan sering dijadikan medan untuk ‘pulun’ beribadah, sebaliknya ia harus menjadi bulan untuk menyemai rasa cinta dalam ibadah.







