biscuit.jpg

Perselisihan

Eh, boleh makan ke biskut ni? Ada emulsifier 471.“kata Ahmad kepada Ali.

Boleh rasanya. Sebab tak semua emulsifier daripada haiwan. Mungkin juga daripada tumbuhan atau bahan-bahan kimia,” jawab Ali.

Aku rasa ia datang dari haiwan la..” balas Ahmad.

Tak, dari tumbuhan..” kata Ali seakan-akan mula naik berang.

“Bukanlah….”

Andainya kita berada di tengah-tengah perselisihan itu, apakah tindakan kita? Tinggalkan mereka? Menyokong pendapat Ahmad kerana lebih wara’? Ataupun menyokong Ali kerana kita pun inginkan keselesaan kerana biskut itu juga kegemaran kita.

Tindakan yang paling proaktif, adalah kembalikan isu itu kepada pihak yang berautoriti – pihak pengeluar biskut tersebut yang biasanya boleh dihubungi melalui khidmat pelanggannya. Ya, kembali kepada pihak yang berautoriti adalah jawapan yang terbaik.

Pertemuan doktor dengan ibunya.

Aishah, kepala mak ni pening-pening sejak kebelakangan ni,” kata si ibu kepada anaknya, seorang doktor, di klinik anaknya.

Setelah melalukan beberapa prosedur perubatan, Aishah berkata lembut kepada ibunya, “Mak jangan risau. Ni sakit kepala yang biasa, sebab mak tak kerja banyak sangat. Takpe, nanti Aishah bagi ubatnya…”

Ni ubatnya, Mak makan 2 kali sehari, selepas makan ya…”

“Baik, Aishah. Insyaallah Mak akan buat,” jawab si ibu.

Kenapa mesti 2 kali sehari? Kalau makan 4 kali, bukankah sifirnya akan lebih cepat sembuh?

Soalan-soalan yang mustahil wujud di minda si ibu. Kenapa? Jawapannya mudah, kerana si ibu yakin kepada anaknya, mustahil si anak akan membohonginya. Aishah sayangkan dirinya. Mustahil Aishah mahu menzalimi dirinya. Kedua, kerana si ibu yakin dengan ilmu perubatan anaknya.

Kembali kepada autoriti?

Ya, kembali kepada autoriti lebih menenangkan jiwa dan hati. Kita sememangnya mahukan jawapan yang tepat buat setiap persoalan dalam diri. Sangkaan-sangkaan seperti kes Ahmad dan Ali, tidak akan selesai andai masing-masing teguh dengan sangkaan masing-masing dan mungkin bisa merobek ikatan persahabatan.

quran.jpg

Siapakah “ultimate authority” kita?

Kembali kepada “ultimate authority” itulah yang diajar oleh Allah swt melalui kalamNya di dalam surah Nisa, ayat 59 yang terjemahannya,

“…Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian.”

Adakah kita “terpaksa” patuh?

Begitulah kadang-kadang hati kecil kita selalu merungut ketika berhadapan dengan syariat-syariat Allah, “Ya lah, Allah dah cakap, Rasul dah cakap, ikut je lah…” sekalipun zahirnya kita menyatakan persetujuan, tapi hati kecil ini sering kali memberontak, atas rasa keterpaksaan untuk mengikut kata Allah dan RasulNya.

Persoalannya, adakah kita terPAKSA untuk patuh?

Sekiranya kisah si ibu dan anaknya diluaskan skopnya, maka kita mampu untuk membuat suatu kesimpulan, bahawa kebanyakan (atau semua?) manusia akan menurut arahan sekiranya arahan tersebut datang daripada yang mengasihi mereka serta mereka yakin akan arahan tersebut disampaikan dengan dasar ilmu.

Bukankah Allah itu ar-Rahman (Maha Pengasih), ar-Raheem (Maha Penyayang)? Bukankah itu yang lafaz yang kita ulang-ulang setiap hari?

“… DIA Maha Penyanyang kepada hambaNya.” ( Ahzab 33:43)

“…Dan sesekali tidaklah Rabb-mu menganiayai hambaNya.” ( Fussilat 41:46)

Bukankah Allah itu Maha Tahu? Bukankah hal ini semua telah tersemat di hati, hasil pengajian aqidah dan tauhid sejak kecil? Bukankah Allah yang mencipta, menjaga alam ini? Siapakah yang lebih tahu tentang manusia selain dari Pencipta manusia itu sendiri?

Ya, sekiranya doktor yang terdedah kepada kesilapan sekalipun kita mampu untuk patuh dengan kerelaan, bukankah Allah itu lebih layak untuk kita “sukarela”, bahkan rasa gembira untuk melaksanakan arahanNya?

Tepuk dada, renungilah, pastinya kita akan mendapati, hati ini sebenarnya sukarela ingin taat padaNya, hanya kerana godaan si syaitan dan nafsu, segala fitrah itu telah pun terpesong.

Ramadhan: Medan mengembalikan Fitrah “Sukarela”

Fitrah “sukarela” hanya akan muncul di hati, andai syaitan nafsu diatasi. Tiada medan yang lebih kondusif melainkan latihan di Ramadhan kurniaan Ilahi.

Perkasakan TAQWA, tebalkan lapisan iman, tajamkan amal, moga ia menjadi bekal buat bertempur dengan tentera syaitan selepas ini. Moga fitrah ini sentiasa mekar dalam diri.

Amiin.

Shah2873